PUTRAJAYA, 15 OGOS- Pemansuhan syarat pengesahan dalam perkhidmatan bagi cuti ibadah haji yang diumumkan Perdana Menteri pada Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam (MAPPA) Ke-20, disambut baik penjawat awam.
Ia disifatkan sebagai langkah terbaik untuk kemudahan golongan terbabit.
Menurut penjawat awam, Roshaiza Abdullah langkah ini memberikan peluang lebih luas kepada mereka menunaikan rukun Islam kelima itu.
"Seperti yang kita sedia maklum, syarat untuk mengerjakan haji bagi penjawat awam adalah perlu disahkan jawatan dan berkhidmat sekurang-kurangnya empat tahun.
"Namun selepas amanat Perdana Menteri, syarat itu telah dimansuhkan.
"Ini memberi ruang dan peluang kepada penjawat awam menunaikan ibadah haji memandangkan ia adalah fardu ain bagi setiap umat Islam yang mampu. Terima kasih Perdana Menteri," katanya ketika ditemui RTM, di sini hari ini.
Bagi Nabila Ahmad, keputusan itu memberi kelebihan kepada semua penjawat awam yang berpeluang menunaikan haji tanpa perlu menunggu pengesahan jawatan.
"Rata-ratanya semua setuju dengan pengumuman PM ini. Tak perlu tunggu pengesahan jawatan untuk pergi haji.
"Ini satu kelebihan untuk semua penjawat awam lantikan tetap. Sebelum ini memang ada isu cuti sebab haji memerlukan masa yang agak lama, jadi ini memang satu langkah terbaik," katanya.