PUTRAJAYA, 15 Ogos- Hadiah Pengiktirafan Akademik (HPA) berbentuk insentif kewangan yang akan diberi kepada Pegawai Awam (Kumpulan Pengurusan & Profesional dan Kumpulan Pelaksana) disifatkan satu pengiktirafan terhadap penjawat awam yang melanjutkan pengajian dalam perkhidmatan.
Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Dr. Adnan Mat berkata, insentif itu juga bakal menggalakkan penjawat awam memperkasa kemahiran, ilmu dan kompetensi, sekali gus meningkatkan prestasi dan produktiviti dalam sektor perkhidmatan awam.
"CUEPACS amat terharu kerana susah payah penjawat awam yang belajar atau sambung belajar menggunakan kos sendiri serta komitmen tinggi mereka diberi pengiktirafan oleh kerajaan dalam bentuk hadiah walaupun sekali beri.
"Ia juga memberi harapan kepada seluruh penjawat awam supaya meningkatkan akademik mereka dengan menyambung pelajaran," katanya.
Datuk Dr. Adnan ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam Ke-20 (MAPPA XX) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).
Kadar perkhidmatan tersebut berjumlah RM1,250 bagi penjawat awam yang mendapat ijazah kedoktoran; RM1,000 bagi penjawat awam yang mendapat ijazah sarjana.
Manakala RM750 bagi mereka yang mendapat ijazah sarjana muda; dan RM500 bagi mereka yang mendapat diploma atau kelayakan setaraf.