fb fb fb fb fb

Pelajar istimewa curi tumpuan pada Majlis Anugerah STPM 2024

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek (enam, kiri) bersama para penerima Anugerah Pelajar Terbaik Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Ujian Bahasa Inggeris Universiti Malaysia (MUET) 2024 di Majlis Peperiksaan Malaysia / Foto Bernama

SELAYANG, 24 Jun – Tiga pelajar istimewa mencuri tumpuan pada Majlis Pengumuman Peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) Tahun 2024 dan Majlis Anugerah Pelajar Terbaik STPM, MUET dan SKBMW 2024, yang berlangsung di Majlis Peperiksaan Malaysia, di sini.

Muhammad Irham Mazlan dari SMK Tengku Panglima Raja, Kelantan, diumumkan sebagai Pelajar Terbaik Kebangsaan STPM 2024.

Beliau yang juga Presiden Majlis Perwakilan Pelajar Prauniversiti sekolahnya bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah aktif dalam kepimpinan dan pelbagai aktiviti kokurikulum.

2406 REAX PELAJAR ANUGERAH STPM 2
Muhammad Irham Mazlan (kiri), Nik Muhamad Ahnaf Rujhiee Raja Anuar (tengah)
dan Goh Shi Ying 

“Saya kata pada rakan-rakan ketika itu, kita ada masa lima bulan – letih, penat – tapi akhirnya kita akan nikmati hasil kejayaan itu bersama. Hari ini, alhamdulillah, SMK Panglima Raja dinobatkan antara sekolah terbaik dan kami menghantar tiga wakil dengan pencapaian sebelas orang memperoleh 4.0. Itu satu kejayaan luar biasa daripada usaha yang luar biasa,” katanya kepada pemberita.

Majlis turut mengiktiraf dua pelajar berkeperluan khas (CBPK) yang menunjukkan semangat luar biasa menempuh cabaran kehidupan dan pendidikan.

Nik Muhamad Ahnaf Rujhiee Raja Anuar, pelajar cacat penglihatan sepenuhnya, menerima Anugerah Pelajar Terbaik STPM CBPK Kategori Buta 2024.

“Kepada pelajar pendidikan khas, jika kita ada minat untuk sambung belajar, kita harus teruskan. Jangan sia-siakan peluang kerana akademik adalah salah satu laluan untuk kita capai kerjaya. Percayalah pada rezeki,” ujar Ahnaf.

Seorang lagi penerima anugerah ialah Goh Shi Ying, yang mengatasi cabaran cerebral palsy untuk dinobatkan sebagai Pelajar Terbaik STPM CBPK Kategori Spastik 2024.

“Pelajar perlu ada perancangan masa yang baik. Saya bangun pukul 3 pagi dan tidur pukul 9 malam. Bagi saya, pukul 3 pagi adalah masa terbaik untuk belajar,” katanya berkongsi rutin harian.

Majlis anjuran Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) itu turut menyampaikan anugerah kepada pelajar cemerlang dalam MUET dan Sijil Kemahiran Bahasa Malaysia untuk Warga Asing (SKBMW), yang disempurnakan oleh Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.

Pengiktirafan kepada pelajar berkeperluan khas mencerminkan iltizam berterusan Kementerian Pendidikan Malaysia dalam memperkasakan pendidikan inklusif, serta memastikan setiap pelajar mendapat ruang dan peluang yang saksama tanpa mengira latar belakang atau keupayaan fizikal.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN