fb fb fb fb fb

Presiden Republik Kyrgyz tiba di Malaysia, lawatan sulung perkukuh kerjasama dua hala

Foto BERNAMA

SEPANG, 24 Jun- Presiden Republik Kyrgyz, Sadyr Zhaparov tiba di Malaysia hari ini dalam lawatan sulung selama dua hari.

Pesawat khas yang membawa Sadyr Zhaparov dan delegasi selamat mendarat di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kira-kira pukul 6.45 petang tadi.

Ketibaan Zhaparov disambut Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

Sejurus tiba, Zhaparov menerima jambangan bunga sebagai simbolik kunjungan rasmi ke Malaysia buat julung kalinya selepas memegang jawatan Presiden pada Januari 2021.

Beliau kemudiannya memeriksa kawalan kehormatan terdiri 28 pegawai dan anggota Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja (Istiadat) yang diketuai oleh Kapten Muhd Firdaus Mat Hayin.

Zhaparov juga bakal diraikan dalam sambutan rasmi di Kompleks Perdana Putra, Putrajaya, esok.

Selain itu, beliau akan mengadakan mesyuarat bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membincangkan usaha memperkukuh kerjasama dua hala.

Ia termasuk perdagangan dan pelaburan, tenaga boleh diperbaharui dan tenaga hijau, industri halal, komoditi pertanian, pelancongan, pendidikan serta bantuan pembinaan kapasiti melalui Program Kerjasama Teknikal Malaysia (MTCP).

Kedua-dua pemimpin juga akan bertukar pandangan mengenai perkembangan serantau dan antarabangsa yang menjadi kepentingan bersama.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM