fb fb fb fb fb

Pengunjung syukur Jualan Rahmah Madani tawar harga berpatutan

PJRM kali ini dianjurkan Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Nibong Tebal menerusi Program Sentuhan Kasih Nibong Tebal

NIBONG TEBAL, 17 Ogos - Orang ramai menyifatkannya Program Jualan Rahmah Madani (PJRM) sebagai inisiatif berpatutan serta mampu meringankan beban rakyat, khususnya golongan berpendapatan rendah.

Seorang pengunjung, Jamaliah Yti berkata inisiatif itu membantu ibu tunggal sepertinya mendapatkan bekalan asas pada harga lebih murah berbanding di pasaran.

“Harga pun berpatutan, boleh membantu rakyat kurangkan beban. Dengan adanya jualan rahmah ini mak cik rasa bersyukur kerana ia meringankan beban keluarga,” katanya ketika ditemui RTM di sini hari ini.

Bagi Nor Hasini Suparno pula, jualan itu wajar diperluaskan ke lebih banyak kawasan kerana ia menjadi tumpuan golongan B40 mendapatkan keperluan harian.

“Apabila ada jualan rahmah, ia sangat membantu pendapatan kami yang terhad. Kalau boleh perluaskan lagi supaya orang ramai lebih mudah dapatkan barang tanpa berhimpit,” katanya.

Sementara itu, P. Kasturi turut menyifatkan harga yang ditawarkan berpatutan dan berharap program itu dianjurkan dengan lebih kerap.

“Kalau boleh buat selalu, lagi senang orang ramai nak beli barang keperluan asas,” katanya.

PJRM kali ini dianjurkan Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Nibong Tebal menerusi Program Sentuhan Kasih Nibong Tebal di pekarangan Medan Selera Jawi bermula jam 5 petang tadi.

Sebanyak 100 ekor ayam, 100 papan telur serta sayur-sayuran turut diagihkan secara percuma kepada pengunjung.

GRACE AISYAH KEDAYAN