MIRI, 17 Ogos - Kes keganasan rumah tangga di Malaysia meningkat kepada 7,116 kes pada 2024 berbanding 5,507 kes pada tahun sebelumnya, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri.
Beliau berkata peningkatan 29 peratus itu amat membimbangkan dan perlu ditangani segera dengan sokongan menyeluruh pelbagai pihak.
“Ini adalah cabaran sebenar yang perlu kita tangani bersama. bukan hanya melalui undang-undang, tetapi juga dengan pendidikan, bimbingan dan sokongan sosial.
"Saya menyeru semua pemimpin masyarakat, guru KAFA, NGO dan agensi kerajaan untuk menjadi ejen perubahan,” katanya ketika merasmikan Wacana Khas Keluarga Islam Sarawak 2025 di Dewan Suarah Miri hari ini.
Nancy turut mendedahkan Sarawak merekodkan 1,124 kes perceraian pasangan Islam pada tahun lalu dengan punca utama disebabkan tiada persefahaman.
Sehubungan itu, katanya, kementerian melaksanakan pelbagai inisiatif termasuk program Wanita Bangkit, kaunseling keluarga, kursus praperkahwinan, kempen kesedaran melalui Talian Kasih 15999 serta penyediaan dana bantuan guaman bagi membantu wanita terkesan.