fb fb fb fb fb

Tuntutan Sulu: Bukti kedudukan, hak Malaysia diiktiraf antarabangsa - Zambry

(Zambry Abdul Kadir)

KUALA LUMPUR, 7 Jun- Kejayaan Malaysia dalam pertikaian undang-undang di Perancis berkait tuntutan kumpulan Sulu dianggap tepat dan benar, sekali gus membuktikan kedudukan serta hak negara sememangnya diiktiraf berdasarkan undang-undang antarabangsa.

Menteri Luar, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir berkata, kejayaan itu hasil kerjasama banyak pihak termasuk Wisma Putra dan Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi).

"Perkara yang berlaku ini merupakan hal yang dikendalikan di bawah bidang kuasa Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said.

"Kita berusaha, kita melakukan pendekatan ini secara bersama kerana ia melibatkan Malaysia dan proses yang dibuat di luar negara.

"Kita bekerja sebagai satu pasukan yang baik. Berkat kerjasama yang baik antara kementerian telah menghasilkan satu keputusan yang begitu bermakna buat Malaysia," katanya pada sidang media di Parlimen.

Semalam, Bloomberg melaporkan, Mahkamah Rayuan Paris memutuskan mahkamah timbang tara yang mengarahkan Malaysia membuat bayaran kepada kumpulan mendakwa kumpulan Sulu, tiada bidang kuasa dalam kes berkenaan.

Mahkamah timbang tara di Paris tahun lalu memerintahkan Malaysia membayar pampasan kepada kumpulan berkenaan.

Susulan itu, kerajaan memfailkan permohonan bagi membatalkannya di Paris.

(Zambry Abdul Kadir)

Artikel berkaitan:
Malaysia menang pertikaian tuntutan kumpulan Sulu

Media Baharu