fb fb fb fb fb

KBS beri perhatian sukan tempur, renang dan olahraga

KUALA LUMPUR, 7 Jun- Pembangunan sukan terus diperkukuhkan dengan menggariskan beberapa ketetapan bagi mencungkil bakat-bakat muda dalam bidang sukan.

Menteri Belia dan Sukan (KBS), Hannah Yeoh berkata antara aktiviti sukan diberi perhatian termasuklah sukan tempur, renang dan olahraga.

Ketetapan berikut turut melibatkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

Ketetapan ini termasuklah menyebarkan peranan Institut Sukan Negara (ISN) dalam menganjurkan program pendidikan dan pelesenan kejurulatihan kepada guru dan jurulatih di bawah KPM dan KPT serta Dana Sukan Komuniti sebanyak RM20 juta turut diperluaskan kepada kelab dan persatuan di bawah KPM dan KPT untuk melaksanakan agenda nasional sihat di peringkat komuniti.

Biasiswa Sukan Persekutuan KBS diserahkan kepada KPT dan diselaraskan oleh KPT.

"Antara ketetapan yang telah dipersetujui jawatankuasa pada hari ini adalah kerajaan bersetuju mengklasifikasikan sukan tempur sebagai satu aktiviti sukan berbanding sebagai aktiviti badan beruniform.

"Klasifikasi ini memastikan atlet sukan tempur di sekolah mendapat pengiktirafan yang setara dengan sukan-sukan yang lain, menggalakkan lebih banyak kelab renang dan olahraga di sekolah-sekolah berpotensi mewujudkan dan menggiatkan pertandingan kompetitif tahunan peringkat sekolah dan Institut Pengajian Tinggi (IPT) merentasi pelbagai sektor pendidikan termasuk sekolah swasta, tahfiz dan lain-lain.

"KBS melalui Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN) akan mengaktifkan semula pelaksanaan program promosi dan aktiviti Rakan Aktif salah satu teras Rakan Muda di sekolah-sekolah," katanya dalam satu sidang media selepas Mesyuarat Jawatankuasa Peringkat Tertinggi (HLC) Pembangunan Sukan Bil. 1/2023 yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Hannah berkata ketetapan berikut dipersetujui merupakan langkah pertama yang diambil bagi memastikan kerajaan dapat mencungkil bakat-bakat baharu daripada golongan muda terutamanya di dalam sukan tempur, olahraga dan renang.


(Biasiswa Sukan Persekutuan KBS diserahkan kepada KPT dan diselaraskan KPT)

Media Baharu