(Ahli Parlimen Papar, Ahmad Hassan ketika bertanya soalan ketika sesi Pertanyaan Menteri)
KUALA LUMPUR, 10 Mac- Kerajaan bersedia untuk mencabar sebarang tindakan penguatkuasaan terhadap keputusan tuntutan dan prosiding timbang tara berkaitan arahan pembayaran pampasan berjumlah RM62.59 bilion ($14.92 bilion) kepada waris Sultan Sulu yang diputuskan oleh Mahkamah Arbitrasi Paris, Perancis.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata kerajaan tidak berdiam diri dan telah mengambil tindakan sewajarnya dalam memastikan kedaulatan negara tidak dicabuli.
Jelasnya, kerajaan telah memfailkan kes di Mahkamah Tinggi Sabah, namun penuntut tidak hadir pada prosiding itu. Mahkamah Tinggi Sabah pada 14 Januari 2020 memutuskan Perjanjian 1878 tidak mengandungi apa-apa peruntukan timbang tara.
“Malaysia tidak pernah mengetepikan kekebalan kedaulatannya dan penimbang tara tidak mempunyai bidang kuasa untuk menyelesaikan perkara yang dibangkitkan.
“Keputusan Mahkamah Tinggi Sabah itu telah dibawa ke Mahkamah Madrid, Sepanyol untuk diiktiraf dan dikuatkuasakan bagi memberhentikan prosiding timbang tara di Sepanyol.
“Susulan itu, ‘Partial Award on Jurisdiction’ yang dikeluarkan oleh Penimbang Tara pada 25 Mei 2020 telah diketepikan,” jelasnya pada sesi Pertanyaan Menteri sidang Dewan Rakyat bagi menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Papar, Ahmad Hassan.
(Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar dalam sidang Dewan Rakyat hari ini)
Tambahnya Malaysia, melalui Jabatan Peguam Negara dan Kementerian Luar Negeri, telah melantik peguam di Sepanyol dan Perancis untuk mewakili kerajaan bagi tujuan menangani segala tuntutan yang dibuat terhadap Malaysia.
"Malaysia tidak mengambil bahagian dalam prosiding timbang tara yang dikatakan itu kerana Malaysia sentiasa menegakkan dan tidak pernah mengetepikan kekebalan kedaulatannya sebagai sebuah negara berdaulat, tambahan pula identiti penuntut diragui dan belum disahkan", katanya.
Beliau turut memaklumkan bahwa kerajaan bersedia untuk mencabar sebarang tindakan penguatkuasaan keputusan 'Final Award' yang tidak sah di bawah 'New York Convention' sekiranya dilaksanakan oleh penuntut pada bila-bila masa dan di mana jua bagi memastikan kepentingan kerajaan sentiasa terpelihara.
Katanya, 'Final Award' yang dikeluarkan oleh penimbang tara lantikan Mahkamah Madrid, Dr. Stampa tidak sah dan telah diputuskan dengan sewenang-wenangnya serta tidak berlandaskan undang-undang.
"Memandangkan lantikan Dr. Stampa telah dibatalkan dan tidak lagi sah dari segi undang-undang, kerajaan tidak mengiktiraf tuntutan dan prosiding timbang tara tersebut," katanya.
Berdasarkan perjanjian Sultan Sulu dengan Baron de Overbeck & Alfred Dent, kerajaan melaksanakan serahan wang ihsan, namun selepas pencerobohan Tentera Kesultanan Sulu di Kampung Tanduo, Lahad Datu, Sabah telah berlaku pada 12 Februari 2013, kerajaan telah menghentikan serahan wang ihsan itu.