KUALA LUMPUR, 9 Mac - Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya merampas sebanyak 531 jenis produk ubat-ubatan dan kosmetik bernilai RM152,213 yang disyaki mengandungi racun dan tidak berdaftar dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Pengarah Kesihatan Negeri Wilayah Persekutan Kuala Lumpur dan Putrajaya, Dr Nor’Aishah Abu Bakar berkata rampasan itu hasil serbuan dalam Ops Majestic melalui Cawangan Penguatkuasaan Farmasi, Bahagian Perkhidmatan Farmasi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya di sini, semalam.
“Serbuan dijalankan ke atas tujuh buah premis perniagaan termasuk sebuah dispensari haram di sekitar Jalan Tun Tan Siew Sin yang menjadi tumpuan pengguna terutama dari kalangan bukan warganegara.
“Hasil serbuan berjaya merampas produk kesihatan dan ubat tidak berdaftar dengan KKM termasuklah ubat-ubatan yang disyaki mengandungi racun yang disenaraikan dalam Jadual Pertama Akta Racun 1952 seperti antibiotik, ubat antihistamine, ubat tahan sakit dan lain-lain.
“Produk-produk tersebut dipamerkan secara terbuka di dalam premis dan ada juga yang disorok di sebalik pelbagai produk barangan am,” katanya melalui kenyataan media di sini hari ini.
Menurutnya, siasatan lanjut akan dijalankan di bawah Akta Jualan Dadah 1952 dan jika sabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya.
Katanya, orang ramai boleh menyemak kesahihan nombor pendaftaran produk dan notifikasi kosmetik dengan melayari www.npra.moh.gov.my atau dengan menghubungi Bahagian Regulatori Farmasi Negara di talian 0378835400.