PUTRAJAYA, 26 Mei- Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud membuat laporan polis terhadap kumpulan yang mendakwa waris Kesultanan Sulu.
Ia berikutan tuntutan difailkan kumpulan itu melalui Notis Timbang Tara yang diserahkan kepada kerajaan Malaysia pada 30 Julai 2019 melibatkan anggaran tuntutan melebihi US$32 bilion.
“Ketua Pengarah BHEUU JPM membuat laporan ini kerana tuntutan ini merupakan satu ancaman kepada keselamatan negara,” menurut kenyataan Sekretariat Khas JPM.
Kenyataan itu menyebut, rentetan daripada insiden pencerobohan Lahad Datu, Sabah pada 2013, kerajaan Malaysia mengisytiharkan Kumpulan Royal Sulu Force (RSF) sebagai entiti pengganas yang terbabit dalam tragedi pencerobohan tersebut.
Seorang daripada penuntut, Fuad A. Kiram juga diklasifikasikan sebagai pengganas bawah Seksyen 66B Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLAATFUAA) pada 6 April 2023.
Menurut kenyataan itu, laporan polis dibuat dengan mengambil kira wujudnya elemen sabotaj terhadap ekonomi dan ancaman kepada keselamatan negara melalui tindakan agresif penuntut yang dipercayai menyalah guna proses timbang tara antarabangsa.
Dengan membuat laporan polis, dipercayai satu siasatan jenayah akan dimulakan oleh pihak berkuasa demi menjamin keamanan, keselamatan dan kestabilan negara.
(Tuntutan kumpulan dakwa waris Kesultanan Sulu: Laporan polis dibuat/Foto fail)