(Moussa(2 dari kiri), Pengerusi Suruhanjaya Kesatuan Afrika (AUC), melihat pameran
foto semasa ulang tahun ke-60 Pertubuhan Perpaduan Afrika, kini Kesatuan Afrika/AFP)
ADDIS ABABA, 26 Mei - Afrika tidak boleh menjadi "medan pertempuran geostrategik" untuk kuasa global kerana ia sendiri bergelut dengan beberapa ancaman terhadap keamanan dan keselamatan.
Pengerusi Suruhanjaya Kesatuan Afrika (AU), Moussa Faki Mahamat berkata dalam konteks antarabangsa, konfrontasi kepentingan politik yang berbeza mengancam untuk mengubah Afrika menjadi medan pertempuran geostrategik, sekali gus mewujudkan Perang Dingin baharu.
"Dalam situasi ini, keuntungan orang lain akan diterjemahkan kepada kerugian bagi Afrika. Kita mesti menentang semua bentuk instrumentalisasi negara anggota kita," tambahnya dalam ucapan di ibu pejabat AU di Addis Ababa, ibu negara Habsyah.
Moscow sedang mencari hubungan politik, ekonomi dan ketenteraan yang lebih mendalam di Afrika dan Asia apabila Rusia semakin terasing di pentas antarabangsa berhubung konflik di Ukraine.
Pada Februari lepas, 22 negara anggota AU mengambil sikap berkecuali atau tidak mengundi resolusi Perhimpunan Agung PBB yang menggesa Rusia berundur dari Ukraine.
Malahan dua daripadanya Eritrea dan Mali, mengundi menentang resolusi itu.
Afrika yang mempunyai 1.3 bilion penduduk mendapati benua itu berada di tengah-tengah perebutan pengaruh dalam kalangan kuasa besar, yang telah meningkat dua kali ganda sejak pencerobohan Rusia di Ukraine 15 bulan lalu. -AFP
(Seorang perwakilan berdiri di sebelah potret ketua negara pengasas OAU/Kesatuan Afrika pada
ulang tahunnya yang ke-60, Suruhanjaya Kesatuan Afrika, Addis Ababa, Ethiopia/REUTERS)