fb fb fb fb fb

Tun Mahathir diharap terus beri pandangan membina, bukan negatif - Fadillah

(Tun Dr Mahathir/Fadillah Yusof)

KUCHING, 5 Mac- Pihak yang tidak berpuas hati dengan prestasi atau pentadbiran Kerajaan Perpaduan dialu-alukan untuk memberikan komen konstruktif.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata pandangan yang membina diperlukan dan bukannya komen yang boleh menjejaskan lagi kedudukan Malaysia dalam sudut ekonomi pada pandangan dunia.

Menurut beliau, ketika ini adalah masa untuk seluruh rakyat bersatu padu dan memfokus kepada pembangunan negara terutama pemulihan ekonomi.

Fadillah mengulas kenyataan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang menyifatkan Kerajaan Perpaduan gagal membawa sebarang perubahan besar kepada rakyat, malah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dianggap tidak memberi apa-apa kesan kepada negara.

Tegas beliau, adalah terlalu awal bagi mana-mana pihak untuk menghakimi prestasi Kerajaan Perpaduan, namun tegas beliau banyak program telah dilaksanakan dalam waktu singkat dan mencabar pentadbiran kerajaan masa ini.

Ini termasuk kenaikan peruntukan dalam belanjawan untuk Sarawak, wakil dari Sarawak dalam Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), projek lebuhraya Pan Borneo dan Sarawak-Sarawak Link Road diteruskan, selain pembangunan kawasan sempadan.

"Saya hormat Tun Mahathir sebagai seorang yang telah banyak menyumbang kepada negara.

"Saya mengharapkan beliau akan terus membantu dalam membangunkan negara dengan memberikan pandangan yang membina, bukan berbentuk negatif.

"Ketika ini, seluruh rakyat Malaysia memerlukan kita bersatu padu dan kita tidak mampu untuk berpolitik lagi. Kalau terlalu banyak berpolitik itu menyebabkan kita ketinggalan," katanya ketika ditemui media pada majlis kesyukuran dan Hi-Tea bersama Persatuan Penduduk Kampung Datu Sibu di sini.


(Fadillah Yusof)

Media Baharu