ARAU, 9 November - Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perlis melakar satu lagi sejarah apabila secara rasmi melancarkan inisiatif Kampus Hijau bersempena dengan Program Hijaukan UiTM Cawangan Perlis 2025.
Pelancaran Kampus Hijau ini bukan sekadar simbolik tetapi merupakan transformasi strategik ke arah pengurusan kampus yang lebih efisien dan mesra alam.
"UiTM Cawangan Perlis akan terus memperkukuh kolaborasi dengan Jabatan Perhutanan Negeri Perlis serta agensi tempatan dalam memperluas program penanaman pokok, pendidikan alam sekitar dan penyelidikan hijau di masa hadapan, " menurut Rektor UiTM Cawangan Perlis, Profesor Madya Dr. Ahmad Nizan Mat Noor menerusi satu kenyataan.
Dengan pelancaran kampus berkenaan, UiTM Cawangan Perlis mengorak langkah ke hadapan sebagai kampus hijau yang komited terhadap Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs) khususnya Tindakan Iklim, Kehidupan di Darat dan Perkongsian untuk Mencapai Matlamat.
Terdahulu, beliau merasmikan Program Hijaukan UiTM Cawangan Perlis 2025 yang turut dihadiri Pengarah Perhutanan Negeri Perlis, Awang Shaffie Awang Ahmadni.
Pelancaran ini menandakan langkah awal kepada usaha strategik antara UiTM Cawangan Perlis dengan Jabatan Perhutanan Negeri Perlis dalam menjayakan agenda kelestarian universiti dan menyokong Kempen Penanaman 100 Juta Pokok 2021–2025, yang diterajui oleh Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES).
Sebagai simbolik pelancaran, satu upacara penanaman pokok telah diadakan bagi menggambarkan komitmen institusi terhadap kelestarian alam sekitar dan pengurangan jejak karbon yang turut menjadi manifestasi untuk menjadi sebuah institusi pendidikan yang hijau, mampan dan berdaya tahan.
Program ini merupakan anjuran bersama Fakulti Pengurusan dan Perniagaan (FPP), Bahagian Pengurusan Fasiliti, UiTM Green Centre (UGC) dan Unit Ladang UiTM Cawangan Perlis dengan kerjasama strategik Jabatan Perhutanan Negeri Perlis.