fb fb fb fb fb

Tun Mahathir, Zahid sepakat tarik balik saman

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 22 Julai - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sepakat untuk menarik balik dua tuntutan saman fitnah yang dikemukakan antara mereka di Mahkamah Tinggi, di sini.

Tun Dr Mahathir, 100, selaku plaintif, menarik balik saman terhadap Datuk Seri Dr Ahmad Zahid berhubung dakwaan mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah berkaitan isu "kutty", tanpa sebarang kebebasan untuk memfailkan semula tuntutan tersebut.

Pada masa sama, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid turut menarik balik saman terhadap Tun Dr Mahathir berkaitan dakwaan campur tangan dalam prosiding kes jenayah yang masih berjalan, selain menarik balik prosiding menghina mahkamah terhadap bekas perdana menteri itu.

Prosiding menghina mahkamah itu berkaitan sidang media Tun Dr Mahathir yang diadakan di lobi Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pada 5 Disember tahun lalu.

Pesuruhjaya Kehakiman, Gan Techiong, membenarkan permohonan kedua-dua pihak dan mengarahkan agar semua kes diselesaikan tanpa sebarang perintah kos.

Ketika ditemui selepas prosiding, peguam kedua-dua pihak menyatakan bahawa keputusan untuk menamatkan semua prosiding dibuat atas dasar mengutamakan kepentingan rakyat dan memulihkan keharmonian dalam kalangan pemimpin negara.

Kedua-dua tokoh berkenaan tidak hadir semasa prosiding hari ini.

FARIS IZZAT SHAHARUDIN