fb fb fb fb fb

Pemimpin belia lebih had umur kekal jawatan hingga pemilihan baharu

HannahYeoh

KUALA LUMPUR, 22 Julai - Pemimpin belia yang melebihi umur 30 tahun selepas tarikh had umur belia berkuat kuasa pada 1 Januari 2026 boleh terus memegang jawatan sehingga mesyuarat agung pemilihan baharu pertubuhan diadakan.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, namun begitu, pemimpin belia berkenaan tidak boleh dicalonkan semula sepertimana yang diperuntukkan mengikut Seksyen 6 Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia (Pindaan) 2019 (Akta A1602).

"Untuk ahli-ahli belia, mulai 1 Januari 2026, selaras dengan pindaan Akta 668 melalui Akta A1602, ahli biasa yang tidak memegang jawatan dalam pertubuhan belia yang mencapai atau melebihi umur 30 tahun, tidak layak lagi sebagai ahli biasa pertubuhan belia dan hilang kelayakan untuk mengundi dan diundi dalam mesyuarat agung tahunan pemilihan," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Hannah menambah, mereka masih boleh terus terlibat sebagai penasihat, mentor, fasilitator, penggerak dan pekerja belia atau alumni tertakluk kepada perlembagaan pertubuhan.

"Dalam aspek ini, Kementerian Belia dan Sukan telah membuat sesi libat urus dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) untuk kita menyenangkan pertubuhan belia, pemegang jawatan atau ahli mereka yang mencecah usia 30 tahun untuk transisi ke persatuan-persatuan lain yang berdaftar di bawah ROS,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Dr Kelvin Yii Lee Wuen (PH-Bandar Kuching) mengenai situasi selepas seseorang pemimpin belia melepasi usia 30 tahun setelah akta berkenaan berkuat kuasa pada 1 Januari 2026.

KHAIRUL AMRI BIN YASIN