fb fb fb fb fb

DBKL guna AI perkasa pengurusan bandar

Menteri Digital Gobind Singh Deo berucap ketika mengadakan lawatan kerja rasmi ke Pusat Kawalan dan Arahan Kuala Lumpur (KLCCC) hari ini/ Foto BERNAMA

Kuala Lumpur, 22 Julai - Kuala Lumpur kini melalui transformasi pesat ke arah menjadi bandar pintar berasaskan kecerdasan buatan (AI), hasil pendigitalan menyeluruh yang dilaksanakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dengan sokongan Kementerian Digital.

Menteri Digital, Gobind Singh Deo, semasa lawatannya ke Pusat Kawalan dan Arahan Kuala Lumpur (KLCCC) di Bukit Jalil hari ini, memuji kemajuan DBKL dalam mengaplikasikan teknologi AI untuk meningkatkan perkhidmatan awam, keselamatan dan kualiti hidup penduduk.

Beliau menjelaskan, penggunaan AI bukan sekadar meningkatkan kecekapan, malah menjadikan Kuala Lumpur lebih selamat, mesra penduduk dan mampan.

Antara inisiatif utama diketengahkan ialah pembangunan kembar digital Kuala Lumpur, iaitu replika maya bandar yang membolehkan simulasi dan analisis masa nyata bagi tujuan perancangan, tindak balas kecemasan dan pengurusan sumber yang lebih berkesan.

Turut diperkenalkan satu aplikasi penting iaitu sistem pengurusan trafik pintar yang menggunakan suapan kamera langsung dan analitik pintar untuk memantau keadaan jalan, mengesan kemalangan serta mengoptimumkan lampu isyarat di kawasan sesak.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Maimunah Mohd Sharif pula menegaskan bahawa teknologi digital perlu dilengkapkan dengan elemen kemanusiaan.

Katanya, aplikasi AI yang telah digunakan menunjukkan impak positif dalam mengurangkan kesesakan, memperkukuh respons kecemasan dan mewujudkan persekitaran bandar yang lebih selesa.

NIZAMIAH ASIQIN MOHD ZUKNI