KUALA LUMPUR, 22 Julai - Tindakan syarikat yang didakwa membuat pengurangan gaji secara tidak sah terhadap pemandu bas ulang-alik ke Singapura adalah tidak boleh diterima sama sekali, sekiranya dakwaan itu benar.
Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong, menegaskan perkara itu merujuk kepada laporan mengenai demonstrasi lebih 100 pemandu bas yang mogok awal pagi semalam di Johor Bahru, menyebabkan ribuan pekerja Malaysia terkandas ketika mahu ke tempat kerja di Singapura.
Mogok tersebut dipercayai berpunca daripada perasaan tidak puas hati pemandu terhadap penyelarasan gaji baharu yang didakwa mengurangkan pendapatan mereka secara ketara.
"Itu adalah sesuatu yang tidak boleh diterima. Jika dakwaan itu benar, terdapat potongan gaji secara haram. Sedangkan semua perkara ini jelas termaktub dalam undang-undang kita. Seksyen 19(1) menetapkan gaji perlu dibayar dalam tempoh tujuh hari, manakala Seksyen 24(1) pula memperincikan jenis potongan yang dibenarkan secara sah,” katanya.
Beliau berucap pada Pelancaran Umum: Laporan Kajian Amalan Pekerjaan Inklusif oleh Bank Dunia, di sini hari ini.
Susulan insiden mogok yang melibatkan lebih 100 pemandu bas ke Singapura semalam, Steven Sim memaklumkan bahawa Jabatan Tenaga Kerja (JTK) telah turun ke lokasi serta-merta untuk menjalankan siasatan ke atas majikan dan pekerja, manakala pejabat beliau telah menghantar pegawai ke lokasi seawal pukul 5 pagi hari ini bagi memantau keadaan.