fb fb fb fb fb

Dewan Rakyat lulus pindaan RUU Jalan, Parit dan Bangunan

Nga Kor Ming

KUALA LUMPUR, 22 Julai - Rang Undang-undang (RUU) Jalan, Parit dan Bangunan (Pindaan) 2025 diluluskan Dewan Rakyat hari ini, yang antara lain memperkenalkan hukuman perintah khidmat masyarakat sehingga 12 jam bagi kesalahan membuang sampah kecil.

RUU berkenaan diluluskan menerusi sokongan suara majoriti selepas dibahaskan oleh 10 Ahli Parlimen.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming ketika menggulung perbahasan RUU itu berkata, langkah tersebut diyakini mampu menangani isu pembuangan sampah kecil secara progresif, sekali gus mengurangkan masalah sistem saliran tersumbat dan banjir kilat di kawasan bandar.

“Melalui penguatkuasaan perintah khidmat masyarakat ini, kementerian yakin masalah sampah kecil seperti puntung rokok, tisu, plastik, dan pembungkus makanan yang menyebabkan parit dan longkang tersumbat dapat dikawal secara berkesan,” katanya.

RUU tersebut akan dikuatkuasa bermula 1 Januari 2026 dan turut terpakai kepada semua pihak termasuk pelancong asing.

Menurut Nga, hukuman khidmat masyarakat yang dilaksanakan bukan sahaja bersifat mendidik, malah mampu meningkatkan kesedaran sivik dalam menjaga kebersihan awam serta mengurangkan pencemaran alam sekitar.

KHAIRUL AMRI BIN YASIN