KUALA LUMPUR, 22 Julai - Malaysia tidak akan tunduk kepada sebarang tekanan geopolitik atau retorik dalam rundingan berhubung tarif Amerika Syarikat (AS).
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, semua rundingan akan dilaksanakan secara strategik berlandaskan prinsip dan fakta, bagi memastikan hak serta kepentingan ekonomi negara sentiasa terpelihara.
“Kita mesti kekal tegas mempertahankan dasar utama termasuk perolehan, pemilikan dan kedaulatan perdagangan negara. Ini bukan hanya dengan Amerika Syarikat, tetapi juga dalam semua rundingan, demi melindungi kepentingan Bumiputera dan memastikan keseimbangan ekonomi,” katanya semasa menjawab soalan Mohd Syahir Che Sulaiman (PN-Bachok) di Dewan Rakyat.
Tambah beliau, pendirian tegas itu penting bagi memastikan dasar perdagangan negara terus memberi manfaat kepada seluruh rakyat tanpa kompromi terhadap kedaulatan ekonomi.