TATAU, 22 Julai - Mayat seorang lelaki dewasa ditemukan terapung dan tersangkut pada ranting pokok di tebing Sungai Batang Tatau, kira-kira empat kilometer dari Jambatan Tatau, di sini pagi tadi.
Menurut Balai Bomba dan Penyelamat Tatau, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 10.03 pagi dari Ibu Pejabat Polis Daerah.
Susulan itu, lima anggota Pasukan Bravo bersama sebuah jentera dikerah ke lokasi kejadian.
Operasi turut dibantu enam anggota polis yang menggunakan sebuah bot aluminium bagi membawa pasukan ke lokasi penemuan.
Mayat kemudian dibawa ke jeti Pasar Lama Tatau sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Operasi tamat sepenuhnya pada jam 12.05 tengah hari.
Identiti mangsa serta punca kematian masih dalam siasatan pihak berkuasa.