KUALA LUMPUR, 22 Julai - Mulai tahun depan, kemasukan pelajar ke Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) dan Sekolah Berasrama Penuh (SBP) akan diselaraskan melalui satu sistem tunggal dengan hanya satu tawaran penempatan bagi setiap pemohon.
Langkah ini diumumkan selepas mesyuarat antara MRSM, SBP dan sekolah khusus di bawah Kementerian Pendidikan, bertujuan memperkemas proses pengambilan dan mengelakkan pertindihan tawaran.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, penyelarasan ini selari dengan komitmen Kerajaan MADANI untuk mewujudkan sistem pendidikan yang lebih adil dan inklusif, khususnya bagi pelajar luar bandar dan B40.
“Sistem tunggal ini akan memastikan pengagihan tempat yang lebih saksama, terutama untuk pelajar cemerlang dari luar bandar dan keluarga berpendapatan rendah,” katanya.
Dasar pengambilan sedia ada dikekalkan, dengan 60 peratus tempat diperuntukkan kepada pelajar daripada kumpulan B40, khususnya dari luar bandar dan kawasan miskin bandar.
Pemilihan akan dibuat melalui Pentaksiran Kemasukan Sekolah Khusus (PKSK) secara dalam talian,
manakala pelajar sekolah swasta boleh memohon melalui MyMRSM.
Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid turut menjelaskan penyelarasan ini dijangka mengurangkan kadar kekosongan tempat, mempercepat proses semakan data, serta mengurangkan jumlah rayuan.