fb fb fb fb fb

Perkasa pendekatan baharu perangi salah guna dadah

Dr. Shamsul Anuar Nasarah pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Pemadam di ibu negara.

KUALA LUMPUR, 22 Julai - Usaha memerangi gejala penyalahgunaan dadah akan terus diperkasa dengan pendekatan baharu.

Ia selari dengan cabaran yang semakin kompleks melibatkan peningkatan penggunaan dadah sintetik dalam kalangan belia berusia antara 15 hingga 30 tahun.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah berkata, usaha bersepadu akan ditingkatkan melalui kerjasama strategik antara Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam) dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) bagi menumpukan intervensi di kawasan berisiko tinggi.

“Sebagai pimpinan Pemadam, kita perlu tahu situasi sebenar dan turun padang untuk memahami cabaran. Kita sudah ke Kelantan, Pulau Pinang dan Johor bersama AADK dan akan terus jelajah ke semua negeri,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Pemadam Bilangan 2 Tahun 2025 di ibu negara.

Tambah beliau, hasil lawatan bersama AADK memberikan gambaran yang lebih jelas berdasarkan kajian lapangan, sekali gus membolehkan pelaksanaan inisiatif lebih tepat dan berfokus.

Dalam perkembangan berkaitan, Perhimpunan Agung Dwi-Tahunan Pemadam Kebangsaan Kali ke-46 dijadual berlangsung dari 9 hingga 11 Ogos ini di Dewan Sri Siantan, Kompleks Perbadanan Putrajaya.

Perhimpunan bakal dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

KHAIRUL AMRI BIN YASIN