fb fb fb fb fb

MARA lakukan pelbagai inisiatif, dukung pembangunan usahawan di Perlis

Majlis Anugerah Usahawan MARA (AURA) Peringkat Negeri Perlis

KANGAR, 11 November - Majlis Amanah Rakyat (MARA) melakukan pelbagai inisiatif dalam mendukung hasrat pembangunan usahawan di Perlis termasuk latihan dan bimbingan, suntikan modal perniagaan serta kemudahan ruang niaga dengan peruntukan sebanyak RM15 juta sepanjang 2025.
 
Timbalan Ketua Pengarah MARA Zahari Aziz berkata, peruntukan itu bakal memberi manfaat kepada 7,649 orang usahawan bumiputera. Daripada jumlah itu 5,365 daripadanya adalah berstatus mikro, 2,160 merupakan usahawan kecil dan 125 lagi usahawan berstatus sederhana.
 
Sektor perkhidmatan mendominasi ekonomi Perlis merangkumi pelbagai jenis perniagaan seperti perkhidmatan makanan dan minuman, penginapan atau perkhidmatan dan pertanian.

"Pada masa yang sama, kami turut memperuntukkan lebih 370 lot perniagaan dan premis MARA di seluruh Negeri Perlis. Antara teras penting dalam pembangunan ekonomi negeri ini ialah usaha memperkukuh keusahawanan.

"Hampir RM1 juta diperuntukkan untuk membantu usahawan-usahawan di Perlis melalui pelbagai program pembangunan keusahawanan. MARA sentiasa komited dan tidak pernah jemu membantu golongan usahawan dengan melaksanakan pelbagai inisiatif termasuk Program Pembangunan Usahawan Profesional, Program Pembangunan Usahawan Teknikal serta Program Pembangunan Usahawan Runcit," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Anugerah Usahawan MARA (AURA) Peringkat Negeri Perlis di sini.

Bagi tahun 2026, MARA Negeri Perlis mengambil inisiatif dengan menjadikan industri logistik sebagai fokus utama pembangunan usahawan memandangkan industri ini menjamin pendapatan yang lumayan kepada usahawan khususnya ketika pengoperasian Pelabuhan Darat Perlis 

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI