fb fb fb fb fb

12 usahawan Perlis terima pengiktirafan menerusi AURA

Seramai 12 usahawan menerima pengiktirafan dan penghargaan menerusi Anugerah Usahawan MARA (AURA)

KANGAR, 11 November - Seramai 12 usahawan menerima pengiktirafan dan penghargaan menerusi Anugerah Usahawan MARA atau AURA yang diperkenalkan Majlis Amanah Rakyat (MARA) atas pencapaian cemerlang bawah bimbingan agensi itu di Perlis.

Timbalan Ketua Pengarah MARA Zahari Aziz berkata, penganjuran AURA dilihat sebagai platform terbaik untuk memberi pengiktirafan dan penghargaan kepada usahawan sehingga mencapai kecemerlangan di dalam perniagaan.

Di samping memberi rangsangan dan dorongan ia juga bagi menghargai dan mengiktiraf azam, usaha-usaha gigih usahawan sehingga mencapai kecemerlangan dalam perniagaan mereka.

"Tujuan utama penganjuran anugerah ini adalah untuk mengiktiraf dan menjulang kejayaan usahawan-usahawan MARA di Negeri Perlis. Ia sebagai penghargaan terhadap penglibatan mereka sejak mula bertatih dalam perniagaan sehingga berjaya membina empayar sendiri serta membuka peluang pekerjaan dan perniagaan kepada rakyat, khususnya di negeri ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Anugerah Usahawan MARA (AURA) Peringkat Negeri Perlis di sini.

Penerima Anugerah Usahawan Ikon Wakaf MARA, Norhayati Hashim daripada Zatikimia Sdn. Bhd. menzahirkan penghargaan kepada MARA atas penganjuran Majlis Penganugerahan Usahawan MARA peringkat Negeri Perlis.

"Penganugerahan tersebut menjadi suntikan semangat kepada para usahawan muda dan usahawan sedia ada untuk terus maju serta menghargai usaha dan peluang yang diberikan. Terima kasih kepada MARA kerana berjaya menganjurkan majlis ini dengan baik hingga ke penghujungnya," katanya.

Antara anugerah yang disampaikan termasuk Anugerah Usahawan Gaya Hidup, Anugerah Usahawan Industri Automotif, Anugerah Usahawan Industri Perkhidmatan, Anugerah Tokoh Usahawan Peringkat Negeri dan Anugerah Usahawan Ikon Wakaf MARA MADANI

Sehingga kini terdapat seramai 7,649 orang Usahawan Bumiputera di Perlis dan 5,365 daripadanya adalah berstatus mikro. 2,160 usahawan merupakan usahawan kecil dan hanya 1.6 peratus atau 125 usahawan berstatus sederhana. 

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI