fb fb fb fb fb

Tujuh peralatan pukat rawa sorong bernilai RM21,000 dirampas

Tujuh peralatan pukat rawa sorong bernilai RM21,000 dirampas dan disita

YAN, 11 November - Tujuh peralatan pukat rawa sorong bernilai RM21,000 dirampas dan disita hasil operasi rawa sorong Pejabat Perikanan Negeri Kedah bersama Polis di pengkalan-pengkalan nelayan sekitar Yan dan Tanjung Dawai di Kedah, semalam.
 
Pengarah Perikanan Negeri Kedah, Sukri Deris berkata, operasi melibatkan seramai 20 anggota daripada kedua-dua agensi itu dilakukan selepas menerima aduan daripada orang awam.
 
"Kes tersebut diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Cawangan Konservasi dan Perlindungan Perikanan Kelunchor dan disiasat bawah Peraturan-Peraturan Perikanan (Larangan Cara Menangkap Ikan) 1980.
 
"Semua nelayan di negeri itu agar patuh kepada peraturan dan Akta Perikanan 1985. Undang-undang tersebut dikuatkuasakan bukan untuk menzalimi para nelayan, tetapi sebagai satu kaedah untuk membantu pihak jabatan dalam menguruskan sumber perikanan dengan lebih baik," menurut kenyataan itu.
 
Seluruh komuniti nelayan diseru agar bersama-sama menjaga sumber perikanan negeri agar dapat terus diwarisi oleh generasi akan datang.
 
Sikap tamak dan rakus mengambil sumber perikanan tanpa had dan batasan menyebabkan generasi anak cucu kita yang merana kelak.
 
Orang ramai khususnya komuniti nelayan yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kesalahan bawah Akta Perikanan, bolehlah disalurkan melalui aduan FISHCOM 24 jam ditalian 03-8888 5019.
 

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI