fb fb fb fb fb

Dua bot pukat tunda, peralatan tangkap ikan dan hasil tangkapan bernilai RM1.2 juta, disita

Dua bot pukat tunda dikesan menceroboh kawasan pesisir pantai

KUALA KEDAH, 11 November - Dua bot pukat tunda beserta peralatan menangkap ikan dan hasil tangkapan ikan dengan nilai keseluruhan berjumlah RM1.2 juta disita selepas dikesan menceroboh kawasan pesisir pantai.
 
Pengarah Perikanan Negeri Kedah, Sukri Deris berkata, operasi itu turut menahan, lapan nelayan warga Thailand.
  
"Berdasarkan aduan yang diterima daripada Pusat Kawalan Komunikasi Perikanan (FISHCOM) Putrajaya, Pegawai Penangkap Cawangan Konservasi dan Perlindungan Perikanan Kelunchor bersama empat anggota berjaya mengesan dan menahan bot terbabit yang berada pada jarak antara tujuh hingga sembilan batu nautika dari perairan Pulau Payar.
 
"Kes disiasat bawah Seksyen 8 (b) Akta Perikanan 1985, kerana melanggar syarat lesen dengan beroperasi kurang daripada 15 batu nautika dari pantai atau pulau terdekat atau pantai negeri-negeri di Semenanjung Malaysia," menurut kenyataan itu.
 
Komuniti nelayan turut diingatkan supaya mematuhi syarat-syarat lesen yang telah ditetapkan. Syarat-syarat berkenaan bertujuan memastikan sumber perikanan dieksploitasi secara berhemah demi kelestarian dan manfaat bersama seluruh golongan nelayan.
 
Sekiranya mana-mana individu yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kesalahan bawah Akta Perikanan, boleh disalurkan melalui aduan FISHCOM 24 jam ditalian 03-8888 5019.
 

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI