KUALA LUMPUR, 22 Julai - Semua pusat beli-belah diwajib menyediakan fasiliti kitar semula bermula satu Januari tahun depan, sebagai syarat pelesenan perniagaan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT).
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, langkah ini adalah sebahagian daripada usaha menghentikan penggunaan beg plastik sekali guna serta memperkukuh pengurusan sisa plastik secara mampan.
"Semua pusat beli-belah mesti dilengkapi kemudahan kitar semula. Ini akan menjadi syarat baharu dalam kelulusan lesen perniagaan oleh PBT.
"Mana-mana premis yang gagal mematuhinya tidak akan diberikan lesen," katanya semasa sesi penggulungan Rang Undang-Undang (RUU) Jalan, Parit dan Bangunan (Pindaan) 2025 di Dewan Rakyat, hari ini.
RUU tersebut kemudiannya diluluskan dengan sokongan majoriti selepas dibahaskan oleh 10 ahli parlimen daripada blok kerajaan dan pembangkang.
Langkah ini susulan kelulusan Rang Undang-undang Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (Pindaan) 2025 serta RUU Kerajaan Tempatan (Pindaan) 2025 semalam bertujuan memberikan kuasa kepada mahkamah mengeluarkan perintah khidmat masyarakat terhadap kesalahan pembuangan sampah kecil di tempat awam.