fb fb fb fb fb

Rumah tidak kekal musnah dalam kebakaran di Miri

Sebuah rumah tidak kekal musnah dalam kebakaran di Jalan Pulau Melayu 1, tengah malam tadi / Foto Balai Bomba dan Penyelamat Lutong

MIRI, 11 November -Sebuah rumah tidak kekal musnah dalam kejadian kebakaran di Jalan Pulau Melayu 1, lewat malam tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Lutong, Pegawai Bomba Tinggi II Henry Jugah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 11.47 malam.

Satu jentera FRT Scania BGR 4022 digerakkan bersama enam anggota ke lokasi kejadian, kira-kira 13 kilometer dari Balai Bomba Lutong.

"Setibanya pasukan di lokasi pada pukul 12.01 tengah malam, didapati struktur rumah berkeluasan 25 x 20 kaki itu telah terbakar 100 peratus.

Operasi pemadaman dijalankan berpandukan konsep R.E.C.E.O menggunakan satu aliran hos sepanjang 300 kaki dan dua nozel, dengan sumber air daripada pili bomba berhampiran," katanya.

Kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya pada pukul 12.30 tengah malam dan operasi ditamatkan sejam kemudian.

Tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian itu.

Punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan.

FARIS IZZAT SHAHARUDIN