KUALA LUMPUR, 11 November - Undang-undang perlindungan kanak-kanak di negara ini sudah mencukupi, namun pelaksanaannya masih bergantung kepada tahap kesedaran dan keprihatinan masyarakat.
Pensyarah Kanan Fakulti Undang-Undang Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Fatimah Yusro Hashim berkata Akta Kanak-Kanak 2001 telah merangkumi semua aspek perlindungan terhadap kanak-kanak termasuk tanggungjawab ibu bapa dan penjaga, namun pengawasan sosial masih menjadi elemen penting dalam mencegah penderaan serta pengabaian.
Menurutnya, sikap masyarakat yang enggan mengambil tahu keadaan sekeliling menjadi antara punca penderaan berlarutan tanpa disedari.
“Jiran-jiran sudah banyak kali dengar anak menjerit, tapi mereka merasakan itu perkara normal atau tidak mahu mengganggu cara pendidikan ibu bapa,” katanya ketika ditemui pemberita RTM di Angkasapuri, Kota Media.
Dr Fatimah turut menegaskan bahawa jurang antara undang-undang dan pelaksanaannya bukan disebabkan kelemahan akta, sebaliknya berpunca daripada kekurangan pemahaman tentang tafsiran undang-undang itu sendiri.
“Jurang antara undang-undang dan pelaksanaan memang wujud, tetapi tidak besar kerana kedua-duanya berjalan seiring. Namun, undang-undang perlu difahami secara lebih mendalam, bukan sekadar apa yang tertulis dalam akta, supaya tafsirannya benar-benar membantu pelaksanaan di lapangan,” katanya.
Beliau menekankan bahawa perlindungan kanak-kanak tidak boleh diserahkan sepenuhnya kepada undang-undang semata-mata, sebaliknya memerlukan penglibatan aktif masyarakat sebagai pelindung pertama terhadap sebarang bentuk penderaan atau pengabaian.