fb fb fb fb fb

PDRM pertimbang wajibkan dashcam, bantu penguatkuasaan trafik

Foto hiasan

KUALA LUMPUR, 11 November -Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedia mempertimbangkan untuk mewajibkan penggunaan kamera pemuka (dashcam) sebagai langkah pelengkap kepada penguatkuasaan undang-undang jalan raya di negara ini.

Menurut Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, DCP Mohd Rozi Jidin, penggunaan dashcam diyakini dapat membantu pengesanan kesalahan trafik serta meningkatkan kesedaran dalam kalangan pengguna jalan raya.

“Mungkin sampai waktunya untuk kita mewajibkan penggunaan dashcam kerana ia sangat membantu, khususnya dalam penguatkuasaan dan memberi kesedaran.

Kadang-kadang polis tiada di lokasi, tetapi dashcam ada untuk memantau pergerakan dan ketidakpatuhan undang-undang jalan raya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas ditemu bual dalam rancangan Selamat Pagi Malaysia di Angkasapuri Kota Media.

Sementara itu, beliau turut memaklumkan hampir 80 peratus kemalangan jalan raya berpunca daripada kecuaian manusia, berdasarkan dapatan kajian terkini JSPT.

Katanya, sikap mengambil mudah terhadap keselamatan dan hanya mematuhi peraturan apabila ada penguatkuasaan perlu diubah segera.

“Ini perkara yang tidak sepatutnya kekal dalam budaya kita. Masyarakat perlu berubah ke arah mematuhi peraturan jalan raya secara holistik,” katanya.

Menurut DCP Mohd Rozi, PDRM kini memberi tumpuan kepada penggunaan teknologi dan kecerdasan buatan (AI) bagi memperkukuh pemantauan lalu lintas dengan lebih efisien dan menyeluruh.

Beliau menegaskan, gabungan antara kesedaran sivik, teknologi pintar dan penguatkuasaan berterusan mampu membentuk budaya pemanduan berhemah, sekali gus menurunkan kadar kemalangan di negara ini.

FARIS IZZAT SHAHARUDIN