KUALA LUMPUR, 11 November -Malaysia bukan sekadar bersedia menyertai arus perubahan global, malah berkeupayaan untuk menerajui rantau ini dalam bidang inovasi, bakat dan transformasi teknologi.
Menurut Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, bawah kerangka Malaysia MADANI, hala tuju negara berpaksikan prinsip bahawa teknologi mesti berkhidmat untuk kemanusiaan.
Jelas beliau, pendekatan itu dilaksana dengan mengangkat martabat masyarakat, memperluas peluang serta memperkukuh nilai-nilai murni.
“Malaysia tidak mengejar kemajuan semata-mata atas nama kemodenan, sebaliknya berusaha membina masa depan yang inovatif, inklusif dan mampan,” katanya.
Beliau berucap ketika merasmikan Sidang Kemuncak Selangor Techsphere 2025 di sini, hari ini.
Jelas beliau, sidang kemuncak yang diadakan bawah naungan Hannover Messe itu mencerminkan pengiktirafan terhadap kemampuan Selangor dan Malaysia menepati piawaian antarabangsa.
Datuk Seri Fadillah berkata, ia sekali gus meletakkan Malaysia sebagai hab serantau dan rakan kongsi yang dipercayai dalam ekonomi inovasi global.
“Apa yang berlaku di sini bukan sekadar dalam dewan ini.
Ia memperkukuh industri, memperkasa bakat tempatan dan membuka peluang baharu kepada generasi akan datang,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menzahirkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri Selangor dan Selangor Technical Development Centre (STDC) atas inisiatif menganjurkan platform yang menghimpunkan industri, akademia dan rakan global di bawah satu bumbung.
Datuk Seri Fadillah menyifatkan tema sidang kemuncak kali ini, “ASEAN Industrial Transformation”, sebagai amat bertepatan dan strategik, menggambarkan peranan Malaysia dalam memimpin perubahan industri di rantau ini.
Majlis turut dihadiri Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.
Pameran dua hari itu berlangsung di Dewan 7, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), bermula hari ini hingga esok.