IPOH, 22 Julai - Tiada kes kematian disebabkan Pertussis atau batuk kokol dilaporkan di Perak, setakat minggu Epidemiologi ke-29, tahun ini.
Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia,Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional, A.Sivanesan berkata, sehingga 19 Julai, sebanyak 41 kes disyaki, namun hanya satu kes disahkan positif melalui ujian makmal.
Jumlah ini menunjukkan penurunan sebanyak 96.6 peratus berbanding tempoh sama pada 2024.
Beliau turut menggesa ibu bapa agar mematuhi jadual imunisasi yang ditetapkan bagi mencegah jangkitan.
"Dengar nasihat doktor dan pastikan anak menerima vaksin seperti dijadualkan, jangan abaikan," katanya.
Jabatan Kesihatan Negeri Perak akan terus memantau keadaan serta memastikan imunisasi Pertussis melebihi 95 peratus dalam kalangan kanak-kanak bagi memastikan perlindungan menyeluruh.