fb fb fb fb fb

PM desak dunia henti kekejaman di Gaza

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR, 22 Julai - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa pemimpin dunia agar segera bertindak menghentikan kekejaman berterusan di Gaza, yang disifatkannya sebagai satu tragedi yang menguji nilai kemanusiaan sejagat.

Beliau menegaskan, dunia tidak boleh terus berdiam diri melihat nyawa tidak berdosa termasuk kanak-kanak dan bayi terkorban dalam serangan kejam yang melampaui batas kemanusiaan.

“Tragedi yang sedang berlaku di Gaza adalah satu ujian terhadap nilai kemanusiaan sejagat kita. Seluruh keluarga dibunuh, kanak-kanak termasuk bayi telah terbunuh, dan yang lain pula sedang menderita kelaparan yang melampau,” katanya dalam satu kenyataan bertajuk 'A Call to Conscience: An Appeal to the Leaders of the World.'

Datuk Seri Anwar juga menggesa komuniti antarabangsa untuk bersuara secara kolektif menentang kekejaman tersebut dan mendesak gencatan senjata segera serta pembukaan laluan bantuan kemanusiaan.

Beliau turut merayu negara-negara berpengaruh agar menggunakan kekuatan diplomatik untuk menekan Israel menghentikan serangan tidak berperikemanusiaan terhadap penduduk Gaza.

“Saya juga secara khusus merayu kepada Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, supaya menggunakan pengaruh beliau untuk mendesak penghentian segera pembunuhan, menghentikan pengeboman secara membabi buta, dan memastikan bantuan kemanusiaan sampai kepada mereka yang memerlukan tanpa sebarang halangan,” katanya.

Perdana Menteri menegaskan komitmen Malaysia untuk bekerjasama dengan semua negara tanpa mengira rantau atau ideologi demi memulihkan keamanan dan nilai asas kemanusiaan di Gaza.

KHAIRUL AMRI BIN YASIN