KANGAR, 11 November – Seramai 361 graduan akan diraikan, termasuk 15 graduan antarabangsa dari Thailand, Indonesia, Kemboja, Myanmar dan Nigeria pada Istiadat Konvokesyen Ke-8 Universiti Islam Antabangsa Tuanku Syed Sirajuddin (UniSIRAJ) 15 November ini.
- Konvokesyen ke-8 akan menganugerahkan dua ijazah khas: Ijazah Kehormat Pengajian Islam dan Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat.
- Penghargaan diberikan kepada tokoh yang menyumbang besar dalam keilmuan, masyarakat dan pembangunan negara.
- Graduan dibahagikan kepada empat fakulti: Pengajian Islam, al-Quran & al-Sunnah, Perniagaan & Sains Pengurusan, Muamalat & Kewangan Islam.
- Beberapa anugerah pelajar termasuk Anugerah Canselor, Naib Canselor dan anugerah kecemerlangan kokurikulum akan disampaikan.
- Majlis Pemasyhuran UniSIRAJ dijadualkan berlangsung pada 13 November.
Rektor UniSIRAJ, Profesor Dr. Muhamad Rozaimi Ramle berkata, konvokesyen kali ini turut menyaksikan penganugerahan dua ijazah khas iaitu Ijazah Kehormat Doktor Pengajian Islam dan Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat, sebagai penghargaan terhadap tokoh-tokoh yang telah memberi sumbangan besar dalam bidang keilmuan, masyarakat dan pembangunan negara.
“Pecahan graduan melibatkan empat fakulti, iaitu Fakulti Pengajian Islam seramai 200 graduan, Fakulti al-Quran dan al-Sunnah seramai 51 graduan, Fakulti Perniagaan dan Sains Pengurusan seramai 41 graduan serta Fakulti Muamalat dan Kewangan Islam seramai 68 graduan yang akan menerima skrol masing-masing,” katanya.
Beliau memaklumkannya pada Sidang Media Majlis Pemasyhuran Universiti dan Istiadat Konvokesyen Kali Ke-8 UniSIRAJ di Kangar.
Pada sidang media itu, Profesor Dr. Muhamad Rozaimi Ramle berkata, beberapa anugerah akan diberikan kepada pelajar sebagai penghargaan dan pengiktirafan susulan kecemerlangan dalam bidang akademik dan kokurikulum.
Antara anugerah berkenaan ialah Anugerah Canselor (Martabat Al-Syaraf Al-Ula), Anugerah Naib Canselor, Anugerah Graduan Khas Kokurikulum, Anugerah Graduan Terbaik Kokurikulum dan Anugerah Graduan Terbaik Diploma.
Dalam perkembangan lain, beliau turut memaklumkan bahawa Majlis Pemasyhuran Universiti Islam Antarabangsa Tuanku Syed Sirajuddin (UniSIRAJ) dijadualkan akan berlangsung pada 13 November ini.