IPOH, 11 November - Kerajaan negeri Perak komited memperkukuh penggunaan teknologi digital dan Kecerdasan Buatan (AI) di semua peringkat jabatan serta agensi kerajaan negeri.
Sehubungan itu setiap jabatan dan agensi negeri digalak menerokanya sebagai usaha menyediakan perkhidmatan yang lebih cekap pada masa hadapan.
Exco Komunikasi, Multimedia dan NGO Perak, Mohd Azlan Helmi berkata, selain mampu melancarkan aspek tadbir urus, ia juga berupaya meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan awam.
Sekali gus mengurangkan beban kerja penjawat awam melalui automasi dan sistem pintar.
"Saya nampak memang semua agensi dan jabatan yang ada telah berlumba-lumba menuju ke arah teknologi AI ini. Jadi, adalah menjadi tanggungjawab kerajaan negeri untuk membantu dan Bahagian Digital Perak akan membantu agensi-agensi untuk pembangunan AI lebih mampan dan lebih pantas," katanya di sini.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Hari ICT: AI Untuk Semua, ‘Pemangkin Perak Sejahtera 2030’ yang menghimpunkan lebih 400 penjawat awam dari seluruh negeri.
Majlis tersebut turut menyaksikan pelancaran AI Chatbot yang dibangunkan oleh Bahagian Digital SUK Perak dengan sokongan rakan strategik dan digunakan di tiga platform utama kerajaan negeri, iaitu Portal ePenghulu, Sistem Pinjaman Pengajian Tinggi Negeri Perak dan Portal Lembaga Muzium Negeri Perak.
Kerajaan negeri melalui Digital Perak juga akan terus menyelaras dan memperkukuh ekosistem AI, termasuk diintegrasikan dengan Portal Perak 2.0, supaya seluruh sistem perkhidmatan kerajaan negeri dapat beroperasi secara lebih pintar dan efisien.