KUALA LUMPUR, 11 November -Kerajaan memperuntukkan lebih RM140 juta bagi pelaksanaan program Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) di seluruh negara tahun ini.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, peruntukan itu merangkumi bantuan operasi serta pembayaran sagu hati kepada penyelia dan petugas PDK.
Menurut beliau, usaha ini adalah sebahagian daripada komitmen berterusan kerajaan bagi memperkukuh akses pemulihan dan sokongan kepada golongan Orang Kurang Upaya (OKU).
“Buat masa ini, kadar bantuan kewangan sedia ada kepada PDK masih dikekalkan. Bermula 1 Ogos 2025, Perintah Gaji Minimum 2024 telah berkuat kuasa sepenuhnya iaitu RM1,700 sebulan atau RM8.72 sejam kepada pekerja yang layak.
Bantuan kewangan kerajaan bagi subsidi elaun petugas PDK adalah mencukupi untuk menampung 126 jam kadar gaji minimum,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Mersing, Muhammad Islahuddin Abas, pada sesi pertanyaan lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Tambah Datuk Seri Nancy, bantuan kewangan yang disalurkan ketika ini menampung jumlah jam operasi harian PDK, yang kebiasaannya beroperasi empat jam sehari di pusat dan satu hari seminggu bagi sesi rawatan ke rumah.
Jelasnya, berdasarkan kadar elaun semasa dan jam operasi tersebut, elaun yang diterima penyelia serta petugas PDK masih memenuhi kadar gaji minimum yang ditetapkan.
Namun begitu, ujar beliau, kementerian bersedia meneliti dan menambah baik skim sokongan sedia ada bagi memastikan kebajikan petugas PDK terus dijaga mengikut keperluan semasa.
