KUALA LUMPUR, 20 April- Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain menyifatkan bekas Ketua Polis Negara Tun Mohammed Hanif Omar satu kehilangan besar dalam bidang kepolisan negara.
Beliau turut menyifatkan Allahyarham dikenali sebagai seorang yang tegas dan bijak membuat sebarang keputusan terutama membabitkan pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
"Kalau yang saya dapat tahu daripada orang lama (bekas polis) Allahyarham memang seorang yang tegas dan bijaksan cekap membuat keputusan dan memberi cadangan baru terutama untuk PDRM dan kerajaan pada masa itu," katanya ketika ditemui pemberita di Masjid Negara.
Sementara itu bekas Timbalan Perdana Menteri Tun Musa Hitam yang mengenali Allahyarham sejak bersama-sama menuntut di Universiti Malaya Singapura, turut mengakui Allahyarham merupakan seorang Ketua Polis Negara yang berdedikasi.
"Sebagai kawan, sebagai pegawai yang saya kenal, Tun Hanif ini adalah seorang yang berprinsip sewaktu dia menjawat jawatan sebagai Ketua Polis Negara.
"Prinsip inilah sangat-sangat diperlukan dan dipraktikkan ketika menjalankan amanah, selain perkhidmatannya diperlukan negara," katanya.