(Tun Dr Ismail Abdul Rahman)
KUALA LUMPUR, 2 Ogos- Allahyarham Tun Dr Ismail Abdul Rahman disifatkan sebagai seorang tokoh luar biasa dalam sejarah negara yang berperanan dalam membantu memulihkan semula hubungan antara kaum selepas peristiwa 13 Mei 1969.
Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil berkata, Allayarham yang pernah memegang jawatan timbalan perdana menteri adalah seorang pemimpin yang gigih dan tegas dalam memperjuangkan perpaduan bagi memastikan keharmonian kaum dalam negara.
Justeru, Fahmi berkata, dedikasi dan sumbangan Allahyarham Tun Dr Ismail amat signifikan dalam membangunkan dan memajukan tanah air.
"Hari ini merupakan genap 50 tahun, Tun Dr Ismail menghembuskan nafas terakhir.
"Saya harap mereka yang hadir akan pulang dengan semangat baru, (faham) tentang peri pentingnya kita menjaga keharmonian negara, memupuk perpaduan serta mengelak persengketaan antara kaum dan agama demi membina sebuah negara yang lebih baik untuk semua.
"Saya percaya beberapa reruai termasuk artifak dan gambar lama yang ada pada majlis ini menjadi satu sisi berbeza kepada mereka yang lama atau tidak pernah melihat Tun Dr Ismail," katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Memperingati Negarawan Tun Dr Ismail Al- Haj: Tonggak Perpaduan Negara di Dataran Merdeka di sini.
Tun Dr Ismail merupakan antara pemimpin yang mencetuskan idea pembentukan Rukun Negara yang diisytiharkan pada 31 Ogos 1970 sempena ulang tahun ke-13 kemerdekaan negara.
(Tun Dr Ismail Abdul Rahman)