fb fb fb fb fb

Jangan jadikan institusi pengajian tinggi platform berpolitik - Sultan Kedah

Sultan Kedah Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah berkenan bertitah pada Majlis Konvokesyen Universiti Utara Malaysia ke-38/BERNAMA

SINTOK, 9 November - Institusi pengajian tinggi tidak seharusnya dijadikan sebagai platform berpolitik.

Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah bertitah institusi tersebut merupakan tempat untuk mencari ilmu, bukan medan untuk menabur fitnah.

Baginda menggesa para graduan agar menggunakan ilmu dengan kebijaksanaan dan menjadi individu yang membina dan bersatu, bukan meruntuh dan memecah-belahkan.
 
Ilmu juga titah baginda perlu dipelihara dengan keikhlasan agar dapat digunakan untuk memperindah kehidupan insan yang lain.
 
"Andai ilmu dijadikan alat untuk berpolitik dan fitnah, ia akan memusnahkan kepercayaan rakyat, dan merencatkan masa depan generasi akan datang.

"Beta menyeru agar semua pihak hendaklah bersatu, dalam memastikan institusi pengajian tinggi di Malaysia berintegriti dan berpaksikan kebenaran. Universiti haruslah menjadi jambatan perpaduan, bukan tembok perpecahan," titah baginda yang juga Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM) pada Majlis Konvokesyen ke-38 universiti itu di sini.
 
Sultan Sallehuddin turut berbangga melihat kejayaan pendidikan tinggi negara terus berkembang pesat.
 
UUM kini gah di persada antarabangsa, penyelidikan semakin berkualiti, graduan semakin berdaya saing, dan pelajar antarabangsa semakin ramai memilih UUM sebagai destinasi ilmu.
 
Titah baginda, kini UUM telah menempatkan diri pada tangga ke-491 terbaik dunia serta unggul dalam bidang Pendidikan Berkualiti dan Inovasi.
 
"Kejayaan itu hasil daripada usaha gigih seluruh warga universiti yang wajar dipuji," titah baginda.
 
Dalam titah ucapan sama, baginda bertitah, Tanah Sintok yang dahulunya merupakan medan perjuangan mempertahankan kedaulatan, kini menjadi tanah subur dengan tinta ilmu, yang melahirkan para pejuang dalam ilmu pelajaran.
 
"Ia erti kemerdekaan sebenar apabila ilmu menjadi benteng dan pendidikan menjadi senjata untuk kemajuan bangsa," titah Sultan Sallehuddin pada majlis tersebut.
 
Baginda turut mengucapkan tahniah kepada para graduan yang telah menamatkan pengajian dan ia adalah satu permulaan untuk melaksanakan tanggungjawab besar terhadap agama, bangsa dan negara kerana ijazah yang diperoleh adalah satu amanah.
 
Dalam pada itu, seramai 6,832 graduan akan menerima ijazah masing-masing melibatkan sembilan sesi bermula hari ini sehingga 13 November di Dewan Mu’adzam Shah, UUM.
 

SITI AISHA MELISA YUHANIZ