KUALA LUMPUR, 15 April- Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menzahirkan rasa dukacita atas pemergian bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi yang disifatkan sebagai seorang pemimpin berjiwa besar dan penuh kebijaksanaan.
Menurut beliau, sepanjang lima tahun berkhidmat di bawah pentadbiran Allahyarham dari 2004 hingga 2009, Tun Abdullah dikenali sebagai seorang tokoh yang tenang, sabar, merendah diri serta sentiasa mengutamakan kepentingan negara melebihi segalanya.
“Merupakan seorang yang sangat sabar, sangat tenang, sangat budiman. Tidak suka bermusuh dan sentiasa meletakkan kepentingan negara, rakyat dan juga parti berbanding dengan kepentingan diri sendiri,” katanya kepada pemberita.
Datuk Seri Khaled turut mengenang peranan Allahyarham dalam memberi kepercayaan kepadanya untuk memegang jawatan menteri buat pertama kali sebagai Menteri Usahawan dan Pembangunan Koperasi.
“Saya masih ingat, masa saya Menteri Usahawan dan juga Pembangunan Koperasi – jawatan pertama saya sebagai menteri, Allahyarham sentiasa memberi dorongan, nasihat dan menyokong apa sahaja usaha yang saya lakukan, terutamanya dalam soal mengangkat agenda bumiputera dan pendidikan anak-anak bangsa,” tambah beliau.
Beliau ditemui media selepas menghadiri Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Peringkat Kementerian Pertahanan yang berlangsung di Kem KEMENTAH, Kuala Lumpur.
Sementara itu, Datuk Seri Khaled memakluman hospital medan oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan mula diatur gerak ke Myanmar esok.
Jelasnya, kerajaan hanya menunggu kelulusan daripada pihak berkuasa Myanmar berhubung lokasi bagi menempatkan kemudahan itu.
"Kita sudah bersedia. Malah, kita beritahu bahawa kita bersedia untuk hantar pada 16 hari bulan iaitu esok dan kerajaan telah pun bersetuju menampung segala keperluan perbelanjaan. Kita hanya menunggu pihak Myanmar untuk memberikan lampu hijau di mana hospital medan ini hendak diwujudkan," katanya.
Terdahulu, seramai 35 pegawai perubatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan dihantar ke Myanmar bagi menubuhkan hospital medan sebagai sebahagian daripada misi bantuan kemanusiaan susulan gempa bumi yang melanda negara itu pada 28 Mac lalu.