fb fb fb fb fb

KPM: Sekolah rosak akibat banjir akan segera dibaik pulih

Fadhlina ketika meninjau dan menyantuni penduduk terjejas banjir di PPS SK Changkat Jawi/Foto RTM

ARAU, 27 November - Proses baik pulih sekolah yang rosak akibat banjir yang melanda Perlis ketika ini, akan dilaksanakan segera bagi memastikan sesi persekolahan tidak terganggu khususnya menjelang sesi baharu pada Januari tahun depan.

Kementerian Pendidikan (KPM) menerusi Jabatan Pendidikan Negeri sedang mengenal pasti sekolah terbabit dan anggaran kerosakan yang dihadapi, selepas banjir yang sedang melanda Perlis surut sepenuhnya.

Menterinya, Fadhlina Sidek memaklumkan, antara kerosakan awal yang dikesan hasil lawatan ke Perlis hari ini termasuklah di kelas, bilik guru, makmal komputer, bengkel dan kemudahan sukan.

"Kita (KPM) sedang memantau rapat situasi banjir ini supaya penilaian dapat disegerakan bagi membolehkan pembaikan segera dilaksanakan sebelum sekolah dibuka tahun depan. Ia mengambil sedikit masa bagi memastikan pembaikan disiapkan dengan sempurna dan sekolah dapat kembali beroperasi seperti sediakala,” menurut Fadhlina.

Beliau memaklumkannya ketika meninjau dan menyantuni penduduk terjejas banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan Changkat Jawi di sini.
 
Sementara itu, berikutan situasi banjir yang melanda sekolah menengah dan sekolah rendah di Perlis, sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) sepenuhnya akan terus dilaksanakan sehingga kawasan terkesan banjir, kembali pulih.

EZA YUSMAWATI YAACOP