LIPIS, 27 November - Laman web Public Infobanjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) memaklumkan, sungai Lipis di Batu Malim, Raub di Pahang kini berada pada paras amaran.
Manakala, empat lagi sungai di negeri itu berada pada paras waspada, iaitu Sungai Belat di Sri Damai, Kuantan; Sungai Pahang di Waterfront Bera; Sungai Pahang di Kuala Krau, Temerloh dan Sungai Telemong di Bentong.
Sementara itu, jumlah penduduk terjejas banjir di dua daerah, iaitu di Lipis dan Raub terus menunjukkan trend meningkat.
Berdasarkan portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), setakat pukul 8:00 malam, seramai 63 orang daripada 18 keluarga kini berlindung di sembilan Pusat Pemindahan Sementara (PPS), berbanding 35 orang yang ditempatkan di tujuh PPS kira-kira sejam sebelumnya.
Bagi daerah Lipis, mereka yang terkesan banjir ditempatkan di PPS Dewan Serbaguna Dato Omar Kuala Medang, Lipis; PPS Masjid Kampung Beletik dan PPS SK Lubuk Kulit.
Manakala di Raub, enam PPS dibuka melibatkan Balairaya Kampung Ulu Sungai, Balairaya Kampung Ria, Dewan Serbaguna Kampung Ria dan Balairaya Kampung Tersang, Sk Kundang Patah dan Balairaya Kampung Sengkela.