SINTOK, 27 November - Seramai 36 pelajar dan pensyarah Pusat Pengajian Perakaunan Tunku Puteri Intan Safinaz (TISSA) Universiti Utara Malaysia (UUM) yang terkandas akibat banjir di Hat Yai, selamat tiba di tanah air kira-kira pukul 5.45 petang tadi. (Khamis)
Kumpulan berkenaan yang terkandas sejak minggu lepas tiba melalui Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam, selepas diselamatkan dari hotel penginapan mereka, Wangburapa Grand Hatyai, pada pukul 1.00 tengah hari waktu tempatan.
Terdahulu, kumpulan pelajar berkenaan berjaya dikeluarkan dari hotel dengan menaiki trak dan tiba di Central Hatyai sebelum bergerak menuju ke Bukit Kayu Hitam menaiki bas yang disedikan oleh Universiti Prince of Songkhla (PSU) yang merupakan rakan strategik UUM.
Ketibaan mereka disambut oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UUM merangkap Yang Menjalankan Fungsi Naib Canselor, Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed.
Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed, berkata operasi menyelamat bukan mudah kerana melibatkan prosedur merentas sempadan negara.
“Operasi menyelamat pelajar-pelajar kita memang susah, memang sukar, operasi menyelamat ini mengambil masa beberapa hari, setiap kali percubaan nak masuk apabila sampai terpaksa berpatah balik.
"Alhamdulillah, mereka berjaya dibawa pulang hasil doa rakyat Malaysia dan bantuan Kementerian Pendidikan Tinggi, Wisma Putra, Konsulat Malaysia serta NGO,” katanya dalam kenyataan.
Jelas beliau, UUM melalui bantuan NGO telah menghantar 12 bot bagi menghantar makanan dan keperluan asas pada 25 hingga 26 November, tetapi arus deras memaksa bot berpatah balik.
Pihak universiti merakamkan penghargaan kepada masyarakat sekitar, Konsulat Malaysia, NGO, dan alumni UUM yang membantu menyediakan makanan, minuman dan ubat-ubatan sepanjang proses menyelamat dilakukan.
Kumpulan itu berada di Hatyai bagi mengikuti Thai-MYS Cultural Exchange Programme 2025 selama tiga hari bermula 20 November.
Mereka sepatutnya pulang pada 22 November lepas namun terkandas terkandas di Wangburapa Grand Hotel akibat hujan lebat.