KUALA LUMPUR, 15 April – Agrobank telah memperuntukkan sebanyak RM416,500 untuk menaja pengajian 10 pelajar cemerlang menerusi Biasiswa Madani Agrobank, satu inisiatif yang menyasarkan pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah dan komuniti luar bandar.
Program biasiswa tersebut yang mula diperkenalkan pada tahun 2013, telah memberi manfaat kepada 54 pelajar terpilih di seluruh negara, dengan jumlah keseluruhan tajaan mencecah RM2.5 juta setakat ini.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin, biasiswa ini merupakan salah satu bentuk tanggungjawab sosial korporat (CSR) Agrobank dalam usaha membina bakat masa depan, khususnya dalam komuniti pertanian.
“Ini adalah salah satu daripada tanggungjawab sosial korporat Agrobank.
Kami juga berharap penerima biasiswa ini akan menyertai Agrobank sebagai kakitangan selepas tamat pengajian.
"Perkembangan akademik mereka akan dipantau secara berterusan dan mereka akan diserapkan ke dalam Program Young Talent kami,” katanya.
Tambahnya, biasiswa ini turut memberi peluang kepada pelajar untuk menjalani latihan pengurusan perbankan serta bekerja di cawangan-cawangan Agrobank di luar bandar selepas tamat pengajian.
Ini selain menerima biasasiswa yang bernilai RM40,000 setiap seorang.
Penerima biasasiswa berkenaan terdiri daripada daripada pelajar universiti awam termasuk Universiti Malaya, Universiti Putra Malaysia, Universiti Utara Malaysia, Universiti Teknologi Mara dan Universiti Teknologi Malaysia.
Biasiswa itu juga membolehkan pelajar memperoleh kemudahan asas pembelajaran.
Ini termasuk komputer riba, bahan bacaan, serta kemudahan lain yang menyokong kecemerlangan akademik.
Inisiatif berkenaan mencerminkan komitmen Agrobank dalam memastikan peluang untuk kemajuan tidak lagi terbatas oleh faktor geografi atau kewangan.
Dalam masa yang sama, ia turut mewujudkan impak jangka panjang, khususnya dalam aspek pembangunan sosioekonomi luar bandar dan pengukuhan sektor pertanian negara.