KUALA LUMPUR, 15 April- Seramai 30 warga Kementerian Pertahanan yang terdiri daripada golongan asnaf, ibu tunggal dan Orang Kurang Upaya (OKU) menerima sumbangan Hari Raya berupa wang tunai sebanyak RM500 setiap seorang.
Secara keseluruhan, sebanyak RM26,000 telah disalurkan dalam program kebajikan tersebut.
Turut diraikan, lapan anak kepada veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang berjaya melanjutkan pengajian ke peringkat Diploma dan Ijazah, dengan menerima Bantuan Kebajikan Kemasukan ke Institusi Pengajian Tinggi (IPT).
Sumbangan disampaikan oleh Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari dalam Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Peringkat Kementerian Pertahanan yang berlangsung di Kem KEMENTAH, Kuala Lumpur.
Majlis dimulakan dengan bacaan doa dan tahlil ringkas sebagai memperingati pemergian Perdana Menteri Kelima, Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi.
Lebih 9,000 pengunjung hadir memeriahkan majlis tahunan itu, termasuk Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Timbalan Menteri; Ketua Setiausaha Kementerian; ahli Jemaah Menteri; duta-duta asing serta pesuruhjaya tinggi; Panglima-panglima Perkhidmatan; dan seluruh warga ATM.