Polis nafi dakwaan kes rompakan dan pukul lelaki di Masjid Kuala Kedah

ALOR SETAR, 4 Januari – Polis menafikan dakwaan kejadian seorang lelaki dipukul orang ramai selepas didakwa melakukan rompakan di sebuah masjid di Kuala Kedah berlaku di daerah Kota Setar.

RINGKASAN BERITA AI
  • Polis nafi kejadian pukul lelaki di Masjid Kuala Kedah berlaku di daerah Kota Setar.
  • Tiada laporan polis diterima setakat ini; orang ramai diminta tidak sebarkan maklumat tidak sahih.
  • Orang yang ada maklumat diminta hubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Setar di 04-7747222.

Menurut Ketua Polis Daerah Kota Setar, ACP Syed Basri Syed Ali, semakan lanjut mendapati tiada sebarang laporan polis diterima berhubung kejadian seperti yang tular setakat ini.

Beliau dalam satu kenyataan menasihati orang ramai supaya tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh menjejaskan ketenteraman awam serta menimbulkan kebimbangan masyarakat.

Polis juga meminta mana-mana pihak yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian sebenar dalam video berkenaan supaya tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Setar atau menghubungi talian 04-7747222.

Pihaknya komited memastikan keselamatan dan ketenteraman awam sentiasa terpelihara serta akan mengambil tindakan sewajarnya terhadap pihak yang menyebarkan maklumat palsu atau mengelirukan orang ramai.

Terdahulu, satu klip video bertajuk “Kes Rompakan di Masjid Kuala Kedah” tular di media sosial selepas dimuat naik di laman Facebook.

Video berdurasi kira-kira 20 saat itu memaparkan seorang lelaki dipukul beberapa individu sebelum dikaitkan dengan kejadian rompakan di sebuah masjid.