Polis tahan tujuh lelaki, 100 bungkus air ketum dirampas

ROMPIN, 4 Januari – Seramai tujuh lelaki ditahan ketika sedang memproses air ketum dalam satu serbuan di Kampung Sarang Tiong, Tanjung Gemok, Rompin Pahang.

RINGKASAN BERITA AI
  • Tujuh lelaki ditahan dalam serbuan memproses air ketum di Kampung Sarang Tiong, Tanjung Gemok, Rompin.
  • Polis merampas 100 bungkus air ketum, dianggarkan bernilai RM500 untuk pasaran tempatan.
  • Kes disiasat di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952, hukuman denda atau penjara jika sabit kesalahan.
  • Orang ramai diminta menyalurkan maklumat kepada Bilik Gerakan IPD Rompin di talian 09-4145222.

Ketua Polis Daerah Rompin, Superintenden Sharif Bhai Sharif Mondoi berkata, serbuan itu dilakukan hasil risikan serta maklumat awam sebelum polis menahan semua suspek yang disyaki memiliki air ketum.

Beliau berkata, lima daripada mereka mengaku meminum air ketum tersebut.

Kesemua suspek berusia antara 23 hingga 53 tahun dan bekerja sendiri.

Polis turut merampas 100 bungkus air ketum dengan nilai rampasan dianggarkan RM500 yang dipercayai untuk pasaran tempatan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Beliau menegaskan bahawa polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam pengedaran, pemilikan atau perlindungan aktiviti berkaitan dadah, termasuk air ketum yang diklasifikasikan sebagai racun dan bahan psikotropik di sisi undang-undang.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti jenayah dan dadah diminta menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Rompin di talian 09-4145222.