KUALA TERENGGANU, 15 April – Kerajaan Terengganu melalui Jabatan Kerja Raya (JKR) telah mengemukakan permohonan kepada kerajaan pusat, khususnya Kementerian Ekonomi, bagi mendapatkan peruntukan sebanyak RM36 juta untuk melaksanakan kerja-kerja pembaikan cerun di Jalan Aring 8, laluan Kenyir-Kuala Jeneris, Hulu Terengganu.
Kerja-kerja pembaikan diperlukan segera susulan kejadian tanah runtuh yang berlaku pada November lalu, yang telah menjejaskan laluan tersebut.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar Negeri Terengganu, YB Hanafiah Mat, peruntukan itu penting bagi membolehkan kerja-kerja pembaikan dimulakan secepat mungkin demi kepentingan rakyat dan ekonomi negeri.
“Saya berharap Kementerian Ekonomi dapat mempercepatkan proses kelulusan peruntukan, kerana kedua-dua rakyat Kelantan dan Terengganu amat bergantung kepada laluan ini.
Kesan daripada kelewatan pembaikan sangat ketara dari segi ekonomi seperti aktiviti perindustrian seperti pengangkutan balak dan kelapa sawit tidak dapat dijalankan melalui jalan sedia ada yang hanya bersifat sementara,” katanya selepas Sidang Dewan Undangan Negeri-DUN Terengganu di Wisma Darul Iman di sini.
Terdahulu Hanafiah turut menjawab soalan lisan dikemukakan di sidang DUN mengenai isu pembaikian laluan tersebut termasuk skop-skop cadangan kerja-kerja baik pulih melibatkan pembinaan jambatan baharu sepanjang 150 meter, sistem perparitan jalan, kerja pengalihan utiliti, serta pembinaan jalan dan laluan sementara bagi kegunaan penduduk setempat.