fb fb fb fb fb

Serangan terhadap Haresh dipercayai silap sasaran, siasatan menjurus isu peribadi

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus/ RTM

KUALA LUMPUR, 27 November - Polis tidak menolak kemungkinan suspek yang menyerang wartawan sukan, Haresh Deol telah tersalah sasaran.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus, berkata hasil siasatan awal mendapati serangan terhadap mangsa dipercayai berunsur peribadi akibat gangguan terhadap isteri suspek.

“Siasatan mendapati wujud dakwaan gangguan terhadap isteri suspek, namun kejadian ini dilihat bersifat peribadi dan suspek sebenarnya telah tersalah sasaran,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Program Kesejahteraan Komuniti “Disiplin Terjaga, Generasi Terbina”, di sini, hari ini.

Turut hadir pada program itu ialah Pengarah Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Datuk Megat Affandi Ismail.

Terdahulu, suspek seorang penganggur berusia 37 tahun ditahan di Cheras, pada Rabu dan memiliki rekod jenayah lampau.

Pihak polis memperoleh perintah reman tiga hari, berkuat kuasa sehingga esok bagi siasatan lanjut.

Dalam kejadian pada Selasa itu, dua individu bertindak memukul mangsa di Bangsar.

Manakala seorang lagi merakam insiden tersebut menggunakan telefon bimbit dan dipercayai sebahagian daripada tindakan terancang suspek dan kumpulannya.

Haresh, yang juga Timbalan Presiden Kelab Akhbar Kebangsaan (NPC), bagaimanapun menafikan elemen ‘isu peribadi’ sebagai punca serangan, seperti yang dilaporkan media semalam.

Sementara itu, Fadil berkata polis sedang memuktamadkan siasatan keseluruhan kes sebelum dikemukakan kepada Pejabat Peguam Negara (AGC) berserta syor pertuduhan.

Pasukan penyiasat juga memberi fokus meneliti keterangan daripada semua pihak termasuk rakaman video insiden, latar belakang suspek, dan kemungkinan penglibatan elemen jenayah lain.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD